𝗦𝗛𝗔𝗛 𝗔𝗟𝗔𝗠, 𝟮𝟳 𝗙𝗲𝗯𝗿𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟲 | ٧ رمضان ١٤٤٧ - Satu Sesi Libat Urus strategik telah berlangsung melibatkan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBrs. Profesor Dr. Yamin Yasin bersama kepimpinan Kesatuan Akademik (UTIMAS) serta warga akademik Gred 54 dan 52 bertempat di Bilik Mesyuarat BHEA, Aras 4, Canselori UiTM. Sesi yang bermula dari jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi ini menjadi platform penting dalam memperincikan hala tuju akademik universiti serta membincangkan kebajikan warga pendidik selaras dengan agenda pemerkasaan UiTM 2030.
Dalam pertemuan tersebut, fokus utama diberikan kepada semakan kriteria kenaikan pangkat yang kini dalam fasa penambahbaikan hasil perbincangan awal di Port Dickson dan ILD. YBrs. TNCA menegaskan bahawa setiap pindaan yang dilakukan melalui JK Penilaian Syarat Kenaikan Pangkat adalah bertujuan memastikan piawaian akademik kekal tinggi dan relevan. Isu beban tugas pensyarah turut disentuh, di mana universiti mengakui "loading" yang tinggi di UiTM namun komited memastikan KPI penyelidikan kekal compatible dengan pengurangan jam mengajar (KS) yang diberikan agar setiap staf dapat mencapai keseimbangan prestasi yang optimum.
Selain itu, sesi ini turut membincangkan transformasi program futuristik melalui inisiatif ODL dan PROPENS serta evolusi bidang pendidikan daripada STEM kepada STEAM. Penguasaan Bahasa Inggeris dan integrasi nilai murni secara realiti melalui Course Learning Outcome (CLO) turut diperkukuh, di mana pensyarah berperanan besar sebagai role model kepada pelajar. Bagi memastikan ketelusan pengurusan akademik, aspek penyeliaan pelajar dicadangkan untuk diintegrasikan secara rasmi ke dalam jadual waktu (timetable) dan tidak hanya bergantung kepada rekod dalam sistem MyATP atau iCRESS semata-mata.
Sebagai langkah susulan, satu sesi Townhall akan dijadualkan dalam masa terdekat bagi memberikan penjelasan yang lebih terperinci kepada seluruh warga akademik mengenai hasil libat urus dan gerak kerja penambahbaikan ini. Segala usaha ini mencerminkan komitmen universiti dalam menjaga kebajikan warga akademik sambil terus memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional
اوسها تقوى موليا


